80 pelajar sertai program potensi industri agromakanan anjuran MPC

Industry Induction Course for Interns 2019
Nexus Produktiviti Agro-food bersama-sama dengan pensyarah, pelajar UPM Kampus Bintulu serta penceramah bagi program "Industry Induction Course for Interns 2019" merakamkan gambar sebagai bukti kejayaan program selama 1 hari tersebut.

BINTULU: Agro-food Productivity Nexus (AFPN) telah menganjurkan program ‘Industry Induction Course for Interns’ di Hotel Promenade Bintulu.

Program dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) itu yang julung kali diadakan adalah untuk memfokuskan perkembangan dan pembangunan berkaitan agromakanan.

Enam penceramah jemputan tampil dalam sesi perkongsian dengan para pelajar terdiri daripada Dr Mohamad Faizul Mat Isa dari UPMKB, Juliana Ritonga Saipul Jannah (Jabatan Pertanian), Marie Goh (Croplife Malaysia), Prof Dr Koo Voon Chet dari Multimedia University (MMU), Dr Mazniza Sairi dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kit Chan (K-Farm Sdn Bhd).

Program tersebut dihadiri 80 pelajar diploma dan sarjana muda tahun akhir serta penyelaras program latihan industri di Fakulti Sains Pertanian dan Makanan UPMKB.

Menurut jurucakap UPMKB, tujuan utama program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dengan bakat, cabaran dan peluang yang mereka boleh terokai dalam bidang pertanian.

Selain itu katanya, ia menyampaikan keperluan pihak industri dan bagaimana pelajar boleh menjadikannya sebagai peluang dalam membentuk kerjaya dalam bidang pertanian.  

“Program itu juga menggalakkan perubahan minda para pelajar yang didorong oleh para penceramah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai peraturan-peraturan serta piawaian yang wujud dalam industri agromakanan kepada petani-petani yang akan bekerjasama bersama pelatih latihan industri,” tambahnya.

Pelajar diploma dan sarjana muda juga katanya, diharap dapat menyahut seruan kerajaan dalam mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif bermula dengan mempraktikkan pengetahuan yang dipelajari di institusi pendidikan dan bertindak sebagai saintis semasa menjalani latihan industri.

Inisiatif Agro-food Productivity Nexus katanya, menekankan kerjasama industri dengan institusi pengajian pertanian bagi merapatkan jurang dalam bidang agromakanan negara sekali gus mempertingkatkan produktiviti kedua-dua pihak.

Pembukaan rasmi program telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah MPC Zulaifah Omar serta Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan UPMKB Prof Madya Dr Shahrul Razid Sarbini.