Lebih Ramai Pelancong Singapura Akan Lawat Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar Bermula 15 Julai Ini

Perkhidmatan keretapi Tebrau Shuttle yang bersejarah yang bakal bermula 15 Julai nanti akan turut membuka lembaran baru dalam dunia pelancongan di Johor apabila para pelancong dari Singapura akan dibawa melawat Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) di Johor Bahru iaitu pusat sehenti pameran elemen budaya dan warisan negeri Harimau Selatan itu.

Pada 1 Julai lepas, kira-kira 60 orang wakil syarikat dan ejen pelancongan dari Singapura dan Malaysia dibawa menaiki perkhidmatan keretapi ulang alik itu dan melawat KWSAB untuk melihat khazanah sejarah yang dipamerkan di situ dalam Heritage Familiarisation Trip di bawah Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pengerusi TPN yang turut dikenali sebagai Champion, Uzaidi Udanis berkata beliau amat gembira kerana inisiatif perkhidmatan Tebrau Shuttle disambut baik oleh pihak Kerajaan Persekutuan, pihak Kerajaan Negeri Johor, dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Saya sangat terharu kepada dapat bersama-sama menzahirkan program kerjasama yang unik dan julung-julung kali diadakan.

“Inisiatif yang lahir dari cetusan idea bersama kerajaan dan penggiat-penggiat industri pelancongan sendiri melalui platform Tourism Productivity Nexus,” kata Uzaidi dalam ucapannya kepada para ejen pelancongan di KWSAB ketika menyambut ketibaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar meluangkan masa untuk hadir dan menyambut wakil-wakil ejen pelancongan berkenaan.