Pemain Industri Perlu Menggerakkan Sendiri Industri Pelancongan, Bukan Hanya Harapkan Kerajaan

Sudah sampai masanya sekarang ini untuk industri pelancongan di Malaysia dipimpin dan digerakkan dengan aktif oleh pemain industri itu sendiri dan mereka tidak lagi mengharapkan pihak kerajaan atau pihak berkuasa untuk menggerakkan industri bagi pihak mereka.

Pengerusi platform Tourism Productivity Nexus (TPN) yang digelar TPN Champion, Uzaidi Udanis berkata ia adalah harapan dari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mahu industri yang mampu bawa pulangan besar kepada negara itu dikepalai oleh pihak industri sendiri atau pihak swasta.

“Tun mahu industri memimpin sendiri industri pelancongan ini bukan kerajaan, industri sendiri. Saya berada di sini sebagai Pengerusi Tourism Productivity Nexus, anda tahu apa maksud Nexus, Nexus bermaksud menghubungkan satu titik ke satu titik yang lain.

“Jadi, saya dilantik untuk memastikan semua titik dapat disambungkan dan tidak ada lagi jurang atau titik yang tertinggal daripada kerajaan ke industri ke agensi kerajaan dari semua aspek, untuk memastikan kita semua bersama dalam industri ini.

“Tidak perlu lagi mengharapkan kerajaan lakukan sesuatu untuk industri, kita sendiri sebagai pemain industri kena pacu industri ini ke depan,” katanya ketika berinteraksi dengan peserta program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 Kuala Lumpur di Putrajaya yang bermula hari ini.

Bertempat di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu, ITB Kuala Lumpur memulakan programnya hari ini dan berterusan selama tiga hari sehingga Rabu bersama kira-kira 50 orang pengusaha industri pelancongan dari pelbagai cabang industri.